BESUT 10 Dis. – Gerakan mencari seorang pelajar berusia 13 tahun yang dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan air deras di Sungai Besut di Kampung Gong Duek di sini petang semalam, diteruskan pagi ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh Mohd. Zamri Omar berkata, operasi mencari dan menyelamat itu dilakukan dengan kerjasama polis, Rela dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya, kawasan pencarian merangkumi 1 kilometer dari tempat kejadian dengan bantuan lapan anggota penyelam dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, mangsa, Mohd. Syarif Zulkifli, 13, seorang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dikatakan lemas ketika sedang memancing bersama adiknya di sungai berkenaan.
Air sungai ketika itu dikatakan naik mendadak setelah pintu Empangan Jajar dipercayai dilepaskan menyebabkan batu tempat mereka dua beradik itu memancing ditenggelami air.
Dalam keadaan cemas, Mohd. Syarif dan adiknya, Mohd. Safwan, 9, dikatakan terjun dan berenang ke tebing sungai untuk menyelamatkan diri namun hanya adiknya terselamat dan berjaya sampai ke tebing sungai. – UTUSAN ONLINE










