WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat ke-41 George H.W. Bush meninggal dunia malam tadi. Bush yang berusia 94 tahun itu meninggal dunia pada pukul 10.10 malam.
Kematian beliau lapan bulan selepas pemergian isterinya Barbara pada 17 April lalu. Kesihatan Bush merosot sejak beberapa bulan lalu.
Bush mempunyai beberapa masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu dan pernah dimasukkan ke dalam hospital pada Januari 2017 selepas mengalami masalah pernafasan.
“Jeb, Neil, Marvin, Doro dan saya dengan dukacita mengumumkan bahawa selepas mengharungi 94 tahun yang luar biasa, ayah kami sudah meninggal dunia,” kata anaknya, bekas presiden George W. Bush dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi Twitter oleh jurucakap keluarganya.
“George H.W Bush ialah seorang lelaki yang mempunyai watak dikagumi selain seorang ayah terbaik kepada anak lelaki dan perempuan,” katanya.
Anaknya George W. Bush turut berkhidmat sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-43. – Agensi










