Geng 'Gi Mekoh Nga Mutor' laung takbir masuk bumi Pakistan - Utusan Malaysia

Geng ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ laung takbir masuk bumi Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 10 Dis. – Perasaan teruja memasuki sebuah negara Islam menyebabkan kumpulan tiga penunggang motosikal kapcai ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ melaungkan takbir tiga kali yang turut diulang pegawai imigresen sebaik memasuki pintu pagar sempadan di Wahga, Pakistan pada Sabtu lalu.

Kumpulan yang diketuai pesara, Diami Yusoff, 60; mekanik, Mohamad Zalani Zulkifkli, 64, dan usahawan, Mohamad Fadhli Ab Rashid, 40, itu masuk dari bandar sempadan Attari di India ke Pakistan kelmarin dan berada di Lahore selama dua hari sebelum meneruskan perjalanan ke Multan pagi ini.

Menurut Mohamad Fadhli, hari ini masuk hari ke 38 misi mereka menuju Mekah setelah melalui perjalanan kira-kira 3,500 kilometer selepas merentasi negara Thailand, Myanmar dan India sejak bermula 3 November lalu.

KETUA kumpulan Gi Mekoh Nga Mutor, Diami Yusoff (berdiri) dan penunggang paling otai, Mohamad Zalani
KETUA kumpulan Gi Mekoh Nga Mutor, Diami Yusoff (berdiri) dan penunggang paling otai, Mohamad Zalani Zulkifli berehat menikmati pemandangan di pergunungan Shimla, Himachal Pradesh, India. – UTUSAN ONLINE

“Kami berada paling lama di India iaitu selama 25 hari, dahulu sebelum sampai ke India kami cukup bimbang menonjolkan diri sebagai orang Islam mengenangkan ia sebuah negara penduduk majoriti beragama Hindu tetapi ternyata perasaan itu meleset kerana kawan-kawan baharu yang kami temui biarpun bukan beragama Islam teruja apabila mengetahui kami mahu ke Mekah untuk menunaikan umrah.

“Semasa kami singgah di Rhopa Nagar, kami disambut rakan-rakan peminat motosikal malah salah seorangnya, Akash yang beragama Hindu bersungguh mengajak kami supaya bermalam di rumahnya malah keesokannya dia memanggil seorang peniaga kedai makan Islam bernama Fahzan bertemu kami.

 

“Fahzan menjamu kami dengan nasi biryani hasil air tangannya sendiri dan memberitahu ini khidmatnya untuk orang yang mahu ke Mekah kerana katanya amat jarang orang di situ berpeluang menunai haji dan umrah kerana kos mahal,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

MEKAH
 

Mohamad Fadhli berkata, layanan mesra serupa turut diberi seorang peniaga kedai tumpuan penunggang ‘Riders Cafe’ bernama Rishi di Shimla apabila sanggup menyediakan ruang menunaikan solat sambil meminta mereka mendoakan untuk kejayaan perniagaannya biarpun dia bukan beragama Islam.

Sementara itu, Mohamad Fadhli memberitahu, mereka bertiga dalam keadaan baik malah semakin bersemangat selepas menerima kiriman salam Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang disampaikan melalui pesanan ‘WhatsApp’ daripada pegawai istana baru-baru ini.

“Kami rasa cukup gembira dan bersyukur kerana Pemangku Raja rupa-rupanya mengikuti perkembangan perjalanan kami, sokongan yang kami dapat itu membuatkan kami berasa sangat bertanggungjawab untuk menjaga nama negeri dan juga negara dengan baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN