LOS ANGELES – Satu gempa kuat menggegarkan Anchorage sekali gus mengakibatkan kerosakan besar terhadap infrastruktur dan memutuskan bekalan elektrik di bandar terbesar Alaska itu kelmarin.
Gempa sekuat 7.0 pada skala Richter itu berlaku kira-kira 13 kilometer utara Anchorage dan berlaku pada pukul 8.29 pagi (waktu tempatan), menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS).
Jabatan polis bandar berkenaan menyatakan gegaran itu ‘menyebabkan kerosakan teruk pada infrastruktur-infrastruktur utama di Anchorage’.
“Banyak kediaman penduduk dan bangunan mengalami kerosakan. Banyak jalan raya dan jambatan telah ditutup. Jangan berada di atas jalan jika anda tidak perlu memandu,” menurut jabatan polis itu dalam satu kenyataan.
Buat masa ini, tiada laporan berhubung kecederaan atau kematian diterima.
Satu amaran tsunami dikeluarkan bagi kawasan Semenanjung Kenai dan Cook Inlet susulan kejadian gempa besar itu. Namun, ia telah ditarik balik.
Sekumpulan penduduk di Anchorage berkongsi gambar dan video menunjukkan kerosakan sebilangan kediaman, premis perniagaan dan jalan-jalan raya akibat kejadian gempa itu di Twitter.
Lapangan Terbang Anchorage ditutup sementara bagi penerbangan masuk dan keluar selepas menara kawalan di situ dikosongkan.
Setiausaha Akhbar White House, Sarah Sanders menyatakan Presiden AS, Donald Trump telah dimaklumkan mengenai gempa itu dan pihaknya sedang memantau laporan kerosakan akibat bencana alam itu. – AFP
REUTERS
SEBUAH kereta terkandas selepas jalan raya mendap berdekatan sebuah lapangan terbang susulan gempa bumi kuat yang melanda Anchorage di Alaska, AS.
A stranded vehicle lies on a collapsed roadway near the airport after an earthquake in Anchorage, Alaska, U.S. November 30, 2018. REUTERS/Nathaniel Wilder TPX IMAGES OF THE DAY
AFP
GAMBAR menunjukkan buku-buku di perpustakaan Kolej Mat-Su bertaburan selepas gempa bumi menggegarkan bandar Anchorage, Alaska kelmarin.










