JOHOR BAHRU 11 Dis. – Masalah gelandangan di bandar raya ini disifatkan semakin kritikal dana sebahagian besarnya adalah orang luar yang datang menetap atau bekerja di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd. Izhar Ahmad berkata, ketika ini terdapat lebih 100 gelandangan di bandar raya ini di beberapa tempat awam antaranya tinggal di bawah jambatan, menumpang di hospital kerajaan selain berkeliaran di kawasan Teluk Danga.
“Gelandangan di bandar raya ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu pertama 70 peratus adalah mereka yang bekerja tetapi tiada tempat tinggal, 30 peratus lagi mempunyai masalah rumah tangga manakala 20 peratus lagi penagih dadah.
“Kira-kira 70 peratus adalah Melayu dan majoritinya bukan orang Johor yang menjadikan negeri ini sebagai transit, mereka datang dari Sabah, Sarawak dan Kelantan selain ada juga orang tempatan yang mempunyai masalah sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan bantuan kepada 200 penerima program Back to School sumbangan Yayasan Sayang Mutiara (YSM) di Sangkar Kristal, Jalan Serampang di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Kemin; Pengarah YSM; Kumpulan Mutiara Motors, Datin Ramlah Mohamed, Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru,
Sharudin Shaari dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Abdullah Yusuf.
Mohd. Izhar mendakwa, masalah tersebut sudah berlarutan antara lima hingga 10 tahun ini sekali gus menjejaskan imej daerah ini yang berstatus bandar raya selain menjadi tumpuan.
Sehubungan itu, beliau mengesyorkan supaya pusat penempatan sementara untuk gelandangan di bandar raya ini ditambah kerana kapasiti sedia ada hanya boleh memuatkan 30 orang.
Selain itu katanya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu membantu mereka dengan memberikan bantuan sekiranya layak dan bagi kanak-kanak pula dibawa ke pusat perlindungan.
Katanya, begitu juga dengan penagih dadah diambil tindakan sewajarnya supaya keselamatan warga kota selamat walaupun kadar jenayah dilakukan mereka masih pada tahap rendah. – UTUSAN ONLINE









