PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang untuk menaik taraf industri makanan dan minuman negara dengan menggantikan gerai-gerai tepi jalan kepada model perniagaan food truck yang disifatkan lebih mudah, ringkas dan inovatif.
Menterinya, Khalid Abd. Samad berkata, kementerian juga komited untuk menerus dan memperbanyakkan lagi tapak-tapak food truck di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan dari semasa ke semasa.
“Buat masa ini, kementerian mahu menggantikan gerai-gerai tepi jalan dengan pendekatan yang lebih bersih dan selamat melalui food truck.
“Bahkan kebanyakan pengusaha food truck di sini merupakan peniaga gerai tepi jalan sebelum operasi perniagaan mereka dinaik taraf,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Food Truck Putrajaya 2018 di sini hari ini. – K! ONLINE










