KUALA LUMPUR 13 Dis. – GAGASAN Nadi Cergas Bhd. merancang meraih RM60 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia melibatkan 140 juta saham baharu dan 60 juta saham sedia ada pada harga 30 sen sesaham.
Pengarah Urusan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal berkata, jumlah itu melibatkan terbitan awam saham-saham baharu bernilai RM42 juta dan tawaran untuk penjualan bagi saham-saham sedia ada bernilai RM18 juta.
“Sebahagian daripada hasil yang diraih akan digunakan bagi segmen utiliti untuk operasi sistem penyejukan (DCS) di bawah projek pembangunan Datum Jelatek.
“Selain itu, langkah ini juga membolehkan syarikat mendapat pembiayaan separa bagi projek pembangunan bercampur Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Putrajaya,” katanya dalam Majlis Pelancaran Prospektus IPO Gagasan Nadi Cergas di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Gagasan Nadi Cergas, Oh Ewe Peng; Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Gagasan Nadi Cergas, Ir. Dr. Muhamad Fuad Abdullah dan Ketua Pembiayaan Korporat TA Securities Holdings Bhd., Ku Mun Fong.
Wan Azman berkata, daripada jumlah hasil terbitan sebanyak RM42 juta yang akan diraih, RM14 juta diperuntukkan untuk pembiayaan pembangunan bercampur AFF, RM6.5 juta untuk perbelanjaan modal DCS di bawah pembangunan Datum Jelatek dan RM16.5 juta bagi modal kerja.
Tambah beliau, menyedari peluang yang wujud dalam sektor pembinaan di Malaysia, kumpulan bercadang terlibat secara aktif untuk tender-tender projek kerajaan dan swasta.
Kumpulan itu juga kini memegang tiga kontrak pendapatan berulang jangka panjang iaitu konsesi pengurusan kemudahan 20 tahun untuk asrama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) di Kuantan Pahang sehingga 2034; konsesi pengurusan kemudahan 20 tahun untuk asrama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) hingga 2037 dan kontrak operasi 20 tahun bagi DCS untuk membekalkan air sejuk ke Institut Jerman-Malaysia di Bangi hingga 2028.











