SHAH ALAM 8 Dis. – Kira-kira 500 bekas pelajar Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (Shah), Pekan, Pahang mengambil bahagian dalam kejohanan futsal dan bola jaring anjuran alumni sekolah itu.
Kejohanan yang berlangsung di Uptown Sport Bangi dekat sini, baru-baru ini disertai bekas pelajar sekolah tersebut dari 1990 hingga 2017.
Sebanyak empat kategori bagi futsal iaitu Legend untuk pelajar dari 1990 hingga 1996, Master (1997-2001), Senior (2002-2009) dan Junior (2010-2017).
Bagi bola jaring pula dua kategori iaitu Ratu (2002 dan sebelum) dan Puteri (2003 dan ke atas).
Pengurus kejohanan,Azzad Zarul Zahir Abdull Zawi berkata, program tersebut merupakan acara tahunan Alumni Shah Pekan sejak 2016.
“Kejohanan kali ini merupakan yang terbesar dengan 47 pasukan kesemuanya,” katanya di sini, baru-baru ini.
Juara futsal bagi kategori Legend dimenangi oleh bekas pelajar 1996, Master (1997), Senior (2004) dan Junior (2011).
Bagi bola jaring pula juara jatuh kepada pasukan Gebu NC (gabungan pelajar 1991, 1996, 1997) bagi kategori Ratu manakala Gegadis Power 03 johan kategori Puteri.
Majlis perasmian kejohanan disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Alumni Shah Pekan, Datuk Remie Arman Musa. – UTUSAN ONLINE










