Membudayakan inovasi merupakan satu usaha penting yang harus dipupuk dalam membentuk masyarakat pencipta dan bukan semata-mata pengguna.
Itu yang dilakukan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan kakitangannya supaya mereka cipta sesuatu inovasi yang boleh dikomersialkan.
Ia direalisasikan melalui sambutan Hari Inovasi FRIM yang kini memasuki tahun ke-10 penganjurannya bertemakan Inovasi Penggerak Pengkomersialan.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod, sambutan bertujuan mewujudkan platform bagi kakitangan mengetengahkan inovasi dalam membantu peranan dan sistem penyampaian perkhidmatan FRIM. Ia juga bagi membentuk persekitaran ekosistem yang kondusif bagi menggalakkan aktiviti inovasi.
Katanya, bertepatan dengan tema sambutan kali ini, FRIM berhasrat mempromosikan inovasi bagi tujuan pengkomersialan.
“Tahun ini buat pertama kalinya kami menganjurkan Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi untuk kakitangan sokongan sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam kelestarian inovasi di FRIM.
“Tujuannya supaya mereka berasakan menjadi sebahagian daripada kumpulan penyelidik dan sama-sama menyumbang dalam penciptaan inovasi baharu. Ini memandangkan mereka merupakan kelompok yang selalu turun padang. Oleh itu, mereka tahu masalah-masalah di lapangan yang perlu diperbaiki,” katanya.
Setakat ini, FRIM telah merekodkan peningkatan jumlah pendaftaran reka bentuk industri (ID) bagi tahun ini. Sebanyak 32 ID didaftarkan sehingga September lalu berbanding 26 ID pada tahun lalu.
FRIM juga menerima tujuh pengiktirafan paten iaitu yang tertinggi diterima setakat ini selain menjalankan 33 perkhidmatan perundingan bernilai RM1.8 juta.
Tambah Abd. Latif, pihaknya juga membangunkan beberapa aplikasi mudah alih seperti FRIM’s App dan HerbaXpress dengan hasrat menggunakan pendekatan teknologi sebagai suatu medium sebaran maklumat.
“Ini merupakan suatu platform baharu FRIM bagi menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
“Selain itu, kita turut membangunkan aplikasi mudah alih MyWood ID untuk pengesahan kayu tropika.
Dengan ini, FRIM mengorak langkah dalam meluaskan bidang penyelidikan dan pembangunan kepada satu platform pengkomersialan yang memberi manfaat kepada industri perkayuan,” katanya.
Jelasnya, aplikasi tersebut dapat membuat pengecaman bagi 100 spesies kayu tropika dan disediakan bagi memudahkan pengecaman spesies kayu oleh individu atau syarikat yang memerlukan.










