KUALA LUMPUR 9 Dis. – Tragedi banjir buruk di pantai timur empat tahun lalu, menjadi titik hitam kepada FM Plastic Industries Sdn. Bhd. (FM Plastic) hingga syarikat mencatat kerugian RM1 juta.
Lebih memburukkan keadaan, ia menyebabkan syarikat sukar bangkit kembali hingga terdapat cadangan untuk menjual sahaja kepada sesiapa yang berminat dengan syarikat yang sudah tidak bernilai itu.

Ibarat jatuh tergolek, banjir lumpur itu mengakibatkan kerosakan teruk di kilang pengeluaran di Kemaman, Terengganu hingga operasi terganggu lebih dari setahun.
Dalam masa sama, ia adalah kali pertama dihadapi oleh para pekerja yang tidak mempunyai pengalaman mengendalikan krisis sedemikian.
Disebabkan mesin mengambil masa selama lapan bulan untuk dibaiki, ia secara tidak langsung menyebabkan proses pengeluaran terjejas dan meningkatkan kadar penolakan daripada para pelanggan sehingga 30 peratus dengan kerugian pula semakin bertambah.
“Namun, dalam keadaan sukar inilah kami mendapat tawaran daripada Petronas untuk menyertai Program Vendor Bumiputera (VDP) mereka pada awal 2014. Notis yang diberikan kepada kami pula hanya tiga hari termasuk cuti hujung minggu di Terengganu.
“Banyak dokumen perlu diselesaikan, apatah lagi kebimbangan mesin di kilang yang sudah lapan bulan tidak mampu beroperasi. Dalam keadaan tersepit inilah, saya dan suami, Datuk Dr. Sharifuddin Musa serta para pekerja lain bertungkus-lumus cuba memenuhi permintaan Petronas dan menyediakan segala dokumen yang diperlukan.
“Harapan kami ketika itu, mahu syarikat kembali beroperasi seperti biasa kerana tidak mahu menutup periuk nasi pekerja-pekerja kami di sana,” kata Pengurus Besar FM Plastic, Datin Nor Faizah Aripshah yang menjadikan suaminya sebagai sumber inspirasi perniagaannya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
FM Plastic yang merupakan pengeluar plastik tahan lasak (FSS) sebelum ini dikenali sebagai KLLT Plastic Industries Sdn. Bhd. ditubuhkan pada Disember 1994. Kemudiannya pada Oktober 2005, syarikat itu diambil alih dan menjadi anak syarikat di bawah Federal Malay Holdings Sdn. Bhd.
Mula menyertai program VDP Petronas pada 2015, FM Plastic mengeluarkan plastik tersebut untuk kegunaan Petronas Chemicals Polyethylene Sdn. Bhd. dan Petronas Chemicals LDPE Sdn. Bhd. Di bawah program itu, hanya dua sahaja syarikat bumiputera yang terpilih.
“Bukan sahaja motivasi kerja kami meningkat, tetapi hasil jualan juga meningkat hingga 60 peratus berbanding sebelum menyertai program ini. Pihak Petronas telah banyak membantu kami dari segi teknikal dan pembangunan kakitangan sehingga kualiti produk meningkat dan tiada penolakan produk daripada pelanggan.
“Selain itu, kami juga berjaya mengurangkan kadar pembaziran daripada 20 peratus sebelum ini kepada tiga peratus. Kini kami mahu mencapai sasaran sehingga dua peratus pula. Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Petronas khususnya bahagian pembangunan vendor yang diketuai Norliza M. Nawi yang sentiasa membantu dan memantau perkembangan kami sehingga berjaya ke tahap ini.
“Tambahan pula, kami mendapat pengiktirafan SIRIM bagi pensijilan ISO 9001:2015 baru-baru ini, ia semakin menaikkan semangat kami semua untuk memajukan syarikat pada masa hadapan,” katanya.
Dalam masa sama, pada April 2014 FM Plastic juga menerima pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai pengeluar FSS plastik halal pertama di negara ini.
Menurut Nor Faizah, dengan pensijilan tersebut, FM Plastic bercadang mengorak langkah ke pasaran global dengan tumpuan di Asia Barat dalam tempoh dua tahun lagi.
“Kami mahu meningkatkan kapasiti sedia ada daripada 150 tan metrik kepada 300 tan metrik apabila Rapid mula beroperasi pada tahun hadapan. Ini boleh membantu kami meningkatkan pelaburan dengan menambah bilangan mesin di kilang,” katanya.
Berkongsi pengalaman pahit manisnya, ujar ibu kepada empat anak ini, suaminya menyediakan bilik khas di kilang mereka bagi memudahkan komunikasi dengan pekerja sekiranya ditimpa sesuatu masalah sekalipun pada waktu tengah malam.
“Jika merenung kembali apa yang kami lalui selama ini, tak sangka boleh sampai ke tahap ini. Siapa sangka, dalam dugaan hebat itulah, Allah bukakan pintu rezeki seluas-luasnya,” katanya yang berusia 43 tahun dan hanya berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).










