ASUNCION, Paraguay 1 Dis. – Badan induk bola sepak Amerika Selatan, CONMEBOL mengesahkan perlawanan akhir kedua Copa Libertadores antara River Plate dan Boca Juniors akan diadakan di Stadium Santiago Bernabeu pada 9 Disember ini.
Perlawanan asal sepatutnya diadakan, minggu lalu, di Stadium Monumental River di Buenos Aires, namun, terpaksa ditangguhkan setelah beberapa pemain Boca cedera apabila bas yang mereka naiki diserang oleh penyokong lawan.
Ekoran daripada insiden itu, Boca mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Disiplin CONMEBOL supaya mereka menang secara percuma dengan menyingkirkan River daripada kejohanan itu, namun, permohonan tersebut ditolak, Khamis lalu.
Sebaliknya, CONMEBOL menjatuhkan hukuman kepada River untuk beraksi tanpa penyokong dua perlawanan pada musim depan serta denda AS$400,000 (RM1.6 juta).
Presiden CONMEBOL, Alejandro Dominguez berkata, Presiden Real Madrid, Florentino Perez menawarkan Stadium Bernabeu untuk digunakan secara percuma bagi perlawanan akhir itu.
Selepas rundingan dijalankan antara kedua-dua kelab dan CONMEBOL, keputusan menjadikan laman pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid itu sebagai padang untuk perlawanan akhir tersebut dipersetujui, tetapi pengurus Manchester City, Pep Guardiola berpandangan sebaliknya.
“Saya lebih suka perlawanan akhir itu dilangsungkan di Amerika Selatan. Lebih ideal jika ia diadakan di Buenos Aires, tetapi mereka lebih arif berbanding saya tentang apa yang berlaku di sana. Bagi saya perlawanan itu lebih elok diadakan dalam benua dan negara kelab terbabit. Harap ini kali terakhir kejadian sebegini berlaku,” katanya. – AFP










