KUALA LUMPUR 12 Dis. – Felcra Berhad (Felcra) hari ini mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terhadap organisasi tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, laporan itu dibuat susulan penemuan beberapa perkara yang mencurigakan dalam proses audit pengurusan syarikat itu.
“Pengerusi Felcra, Datuk Nageeb Wahab, ketika berucap pada hari pertama beliau memegang tanggungjawab ini telah mengarahkan audit pengurusan ke atas pengurusan Felcra diadakan secara menyeluruh.
“Pihak audit luar yang dilantik dengan kerjasama pihak audit dalaman Felcra melaksanakan semakan dan siasatan secara menyeluruh serta menemui beberapa penemuan yang memerlukan siasatan lebih lanjut oleh SPRM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Nazrul, pihak pengurusan Felcra akan memberi kerjasama penuh sepanjang tempoh siasatan SPRM.
“Kita juga akan pastikan mana-mana pihak yang didapati terbabit serta bersalah akan diadili berdasarkan undang-undang sedia ada. – UTUSAN ONLINE











