KUALA LUMPUR – Susulan daripada keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden, mendapat reaksi positif daripada pihak EXCO pemuda UMNO.
EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, menyifatkan tindakan dan keputusan Presiden UMNO itu sebagai berjiwa besar walaupun pada mulanya beliau enggan berehat.
“Syabas Datuk Seri Presiden. Saya amat berbangga dan berterima kasih kerana menjadi wira kepada parti. Saya harapkan tiada lagi alasan untuk Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian serta ahli akar umbi lainnya untuk meletak jawatan atau melompat parti.
“Saya yakin dengan keputusan ini, UMNO akan dapat kembali bangkit dan merangka gerak kerja dengan lebih baik dan berfokus. Kita doakan dan terus berikan sokongan kepada Presiden agar tabah dengan tuduhan yang dilemparkan kepada beliau dan selagi belum bersabit serta dijatuhkan hukuman, kita sebagai manusia, jangan menghukum ikut kehendak sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Bagi Muqharrabin yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai, keputusan Presiden adalah bukti bahawa beliau tidak menjadikan parti sebagai perisai untuk individu dan ini menjadikan UMNO parti yang kuat kepada prinsip perjuangan untuk rakyat dan ahli ahlinya.
“Semoga kita dapat rapatkan saf bersama barisan kepemimpinan untuk terus menyatakan UMNO akan terus kekal relevan dan terus memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengambil keputusan untuk menyerahkan tugas kepada Mohamad Hasan untuk menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan, Ahmad Zahid menyatakan keputusan beliau adalah untuk menamatkan semua polemik mengenai kepimpinan.
“Berdasarkan kepada kemelut yang dihadapi oleh parti ini, saya mengambil keputusan untuk memberi kepercayaan kepada Timbalan Presiden untuk menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden.
“Demi keutuhan UMNO dan demi kepentingan pimpinan di semua peringkat terutama ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) serta UMNO Bahagian-Bahagian, langkah menyelamatkan situasi tersebut harus dilakukan segera,” katanya. – K! ONLINE










