PASIR GUDANG 2 Dis. – Etiqa Takaful Berhad (Etiqa Takaful) dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) menyampaikan sumbangan kepada seramai 30 nelayan di Kampung Pasir Gudang Baru, di sini.
Sumbangan tersebut berupa kelengkapan seperti jaket keselamatan, set pukat dan tong bersaiz besar.
Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Etiqa Takaful, Rudy Che Lamin berkata, program itu merupakan sebahagian daripada sumbangan zakat tahunan syarikat.
“Etiqa mengkaji dan meneliti institusi berkaitan untuk memastikan sumbangan diberikan benar-benar kepada mereka yang layak.
“Sehubungan itu, kami bekerjasama dengan IAM menerusi program dilaksanakan mereka ini,” katanya selepas menghadiri Program Bantuan Pukat Kepada Nelayan di Kampung Pasir Gudang Baru, di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Presiden IAM, Zawahir Abdullah dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohamad Aziz.
Program tersebut merupakan yang keempat dianjurkan pada tahun ini selepas Kelantan, Pahang dan Kedah.










