Equanimity dijual RM543 juta - Utusan Malaysia

Equanimity dijual RM543 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR  – Kapal mewah Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan yang sedang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low akan dijual pada harga tidak kurang daripada AS$130 juta (RM543 juta), iaitu separuh daripada harga asalnya yang bernilai AS$250 juta (RM1 bilion).

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Sitpah Selvaratnam yang mengetuai pasukan perundangan untuk kerajaan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi kes Equanimity selepas pengurusan kes tersebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Admiralti, Datuk Khadijah Idris di sini semalam.

Menurut Sitpah, harga itu ditetapkan selepas kapal ber­kenaan dinilai oleh syarikat jurunilai bebas yang berpangkalan di United Kingdom, Winter­bothams.

“Kini sudah ada harga panduan untuk pembeli berpotensi.

“Nilai pasaran yang diberi oleh Winterbothams adalah AS$130 juta (RM543 juta),” katanya.

Mengulas lanjut, Sitpah berkata, kerajaan telah mene­rima perintah mahkamah untuk memasuki fasa kedua penjualan kapal mewah itu.

“Fasa pertama ialah mendapat bidaan tetapi ia tidak diterima dan kami perlu bergerak ke fasa kedua,” tambahnya.

Peguam itu berkata, fasa kedua adalah proses penjualan normal melalui rundingan tertutup dan tarikh selesai penjualan ditetapkan pada 31 Mac tahun hadapan.

Pada 19 Oktober lalu, mah­kamah sama mengisytiharkan kapal mewah Equanimity yang berusia lebih empat tahun itu akan dijual. 

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati defendan iaitu Equanimity of Cayman Islands gagal hadir ke mahkamah termasuk tidak memasukkan kehadirannya dalam permohonan tersebut.

Pada 24 Ogos lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Khadijah membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia dan tiga lagi untuk menjual kapal mewah Equani­mity yang didakwa milik Jho Low.

Khadijah membenarkan permohonan bagi mendapatkan perintah penilaian dan penjualan dikemukakan kerajaan, 1MDB dan dua subsidiarinya, Global Investment Limited serta Energy Holdings Limited mengikut Perintah 29 Aturan 4 Kaedah Mahkamah 2012.

Melalui permohonan difailkan pada 6 Ogos lalu, mereka menamakan pemilik kapal dan syarikat Equanimity (Cayman) Ltd. beralamat di United Kingdom sebagai defendan pertama dan kedua.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dengan alasan bagi mengelakkan kos penyelenggaraan tinggi, selain ia boleh menyebabkan kerosakan sehingga aset itu mengalami susut nilai dan alasan keselamatan.

Kapal mewah itu dibawa ke Pelabuhan Klang pada 7 Ogos lalu apabila pihak berkuasa Indonesia menyerahkannya kepada Malaysia setelah  dirampas di Bali pada Februari atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada penyiasatan rasuah oleh Jabatan Keadilan AS (DoJ) ke  atas 1MDB.

Pada 28 November lalu, mahkamah sama membuka dokumen bidaan kapal mewah Equanimity selepas proses bidaan kapal tersebut yang di­buka selama sebulan tamat.

Ketika itu, Sitpah memberi­tahu bahawa maklumat terpe­rinci mengenai bidaan berkenaan termasuk nilai kapal dan pem­bida tidak boleh didedahkan.

Ujarnya, terdapat sokongan dan kemudahan yang hebat dari­pada kerajaan, mahkamah dan Burgess (pegawai yang dilantik) sebagai broker pusat ketika proses penjualan.

Situasi itu membolehkan kapal berkenaan dibuka untuk tawaran jualan dalam tempoh masa yang singkat dan menarik minat pembeli dari seluruh du­nia termasuk Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×