KUALA LUMPUR 23 Dis. – Berang kerana permintaan untuk hubungan intim ditolak, seorang lelaki warga Indonesia bertindak menikam sehingga mati seorang wanita dalam kejadian di kawasan meletak kenderaan Masjid Al-Husna, Sungai Way, Petaling Jaya, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.18 malam itu, suspek juga cuba membunuh diri dengan menikam diri sendiri dan meminum racun selepas membunuh mangsa berusia 28 tahun yang juga rakan senegaranya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati wanita tersebut maut selepas ditikam di bahagian kiri dada.
Menurutnya, suspek yang cuba membunuh diri telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan pihaknya telah menahan suspek di wad kecemasan hospital tersebut pada pukul 1.50 pagi ini.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek berkenalan dengan mangsa kira-kira dua bulan dan telah membelanjakan sejumlah wang sebagai balasan untuk mengadakan hubungan intim dengan mangsa.
“Bagaimanapun, baru-baru ini suspek tidak mampu memberikan wang yang diminta seterusnya membuatkan mangsa enggan meneruskan hubungan sehingga mencetuskan kemarahan suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN ONLINE










