Enam samseng jalanan ditahan lakukan aksi berbahaya di lebuh raya Butterworth - Utusan Malaysia

Enam samseng jalanan ditahan lakukan aksi berbahaya di lebuh raya Butterworth

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS 14 Dis. – Keghairahan seramai enam pelesit yang sedang asyik berlumba dan melakukan pelbagai aksi berbahaya di lebuh raya Butterworth di sini malam tadi memakan diri selepas mereka ditahan polis.

Operasi Khas Samseng Jalanan yang bermula pukul 10 malam hingga 5 pagi tadi itu dijalankan secara bersama Skuad 42 ibu pejabat kontinjen polis negeri serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kesemua samseng jalanan yang ditahan itu berumur antara 17 hingga 20 tahun dan merupakan kakitangan swasta selain bekerja sendiri.

Tambahnya, mereka ditahan kerana melakukan pelbagai aksi berbahaya seperti menundukkan badan dan meniarap di atas motosikal yang turut mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.

“Ujian saringan awal air kencing kesemua suspek bagaimanapun didapati negatif dadah dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengakutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, Noorzainy menyeru ibu bapa menitikberatkan soal pengawasan anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat apatah lagi perbuatan berlumba haram tersebut boleh menjejaskan masa depan generasi muda.

Tambahnya, operasi berterusan polis itu bukan hanya bertujuan membanteras samseng jalanan sebaliknya turut mengurangkan risiko kemalangan dan kematian membabitkan kemalangan jalan raya.

“Sehubungan itu, kita akan terus bertindak tegas dan proaktif dalam membanteras aktiviti seperti ini dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan tidak sihat atau kes jenayah boleh melaporkannya di mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×