PETALING JAYA – Enam lagi lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pelbagai pertuduhan berhubung insiden kekecohan di Kuil Maha Mariamman, Subang Jaya di sini 26 November lalu.
Mereka yang didakwa adalah M.Manimaran, 38, Mohammad Shahril Danniel Sajel, 22
Mohammad Saifullah Abdullah, 31,Muhammad Hasneezam Shah Samsudin, 29, Akmal Izzat Aziz, 24, Mohd. Norul Ismawi Islahuddin, 40.
Bagaimanapun, mereka tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir.
M. Manimaran yang juga merupakan Pengerusi Persatuan India Malaysia didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, menghalang laluan kenderaan kereta polis peronda untuk keluar dari kawasan dan mendatangkan kecederaan parah kepada orang awam.
Semua kesalahan itu dilakukan pada 26 November antara pukul 12.30 tengah hari dan 1.30 petang di Kuil Maha Mariamman, Seafield USJ 25, Subang Jaya.
Sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-dua nya sekali jika sabit kesalahan dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara tujuh tahun dan denda.
Sementara itu, lima lagi lelaki didakwa kerana didapati berada semasa rusuhan itu dan disyaki memiliki parang, kapak, pisau dan kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang yang boleh dihukum mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 November lalu pukul 2 pagi sehingga 5 pagi di kuil berkenaan. – K! ONLINE










