JASIN – Seramai enam penumpang termasuk dua pesakit kanser dan seorang pemandu cedera selepas ambulans dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7 Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah – Jasin di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi itu, kesemua mangsa dalam lingkungan umur 24 sehingga 65 tahun telah dikejarkan ke Hospital Muar selepas cedera di beberapa anggota badan termasuk patah bahu dan tangan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian ambulans tersebut dalam perjalanan dari arah Melaka ke Hospital Muar untuk menghantar dua pesakit kanser.
“Setiba ditempat kejadian, ambulans tersebut telah dilanggar di bahagian hadapan sebelah kiri oleh sebuah kereta jenis Toyota Wish dipandu seorang pelajar lelaki berusia 22 tahun yang menghala ke Sungai Rambai.
“Akibat kemalangan itu, kesemua penumpang termasuk dua orang pesakit kanser dan seorang pemandu ambulans cedera di pelbagai anggota badan manakala pemandu MPV tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Arshad berkata, siasatan awal mendapati ambulans tersebut tidak memasang lampu siren.
Katanya, bagaimana pihaknya meminta saksi awam tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










