Empat sahabat berdepan tali gantung bunuh mak nyah - Utusan Malaysia

Empat sahabat berdepan tali gantung bunuh mak nyah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Empat sahabat berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang juga ‘mak nyah’ di hadapan sebuah hotel di Bukit Tinggi di sini dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan yang direkodkan daripada keempat-empat tertuduh iaitu, Low Shi Haur, 21 dan Tan Khim Siang, 19 serta dua lagi yang masing-masing berusia 16 dan 17 selepas pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat lelaki bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian Mohamad Idirs, 32, di hadapan sebuah hotel di Lorong Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi di sini.

Perbuatan tersebut dilakukan pada 12 Disember lalu kira-kira pukul 7 pagi.

Justeru, kesemua mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Idris, manakala tertuduh diwakili peguam M.Varalehchumy, G. Santiago serta Akmal Jusoh.

Solehah Noratikah kemudiannya menetapkan 30 Januari depan untuk sebutan semula kes dan tiada sebarang ikat jamin ditawarkan kepada semua tertuduh.

Kosmo! Online minggu lalu melaporkan seorang ‘mak nyah’ dibelasah sekumpulan lelaki menggunakan senjata tumpul ditemui terbaring oleh pengawal keselamatan kira-kira pukul 7 pagi di hadapan sebuah hotel di Bukit Tinggi di sini. 

Mangsa berasal dari Sabah itu disahkan meninggal dunia pada pukul 10.47 pagi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang selepas menerima rawatan hampir 27 jam.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat 32 kecederaan pada seluruh badan mangsa dengan pendarahan yang teruk termasuk di bahagian otak dan retak pada tengkorak.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli menegaskan motif kejadian berpunca daripada tindakan mangsa yang disyaki mencuri telefon bimbit pelanggannya. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN