KUALA TERENGGANU 24 Dis. – Empat pekerja Tenaga Nasional Bhd. (TNB) terkandas di kawasan hutan simpan Sultan Mizan berhampiran Felda Mengkawang, Hulu Terengganu semasa melakukan kerja-kerja pemantauan talian kabel, semalam.
Mangsa ialah Nor Muslim Mohd. Dom, 51; Mohd. Amirul Ismail, 30; Muhammad Syazwan Wahab, 30, dan Ahmad Khairi Azman Mohamed, 29, daripada unit pencawang kabel TNB Wilayah Timur di Dungun.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, kesemua mereka merupakan pasukan petugas pemantau menara kabel elektrik line Kenyir – Paka yang menjalankan tugas bermula pukul 9.30 pagi dan sepatutnya berakhir 6 petang.
“Seorang juruteknikal kanan TNB dalam aduannya memaklumkan bahawa beliau dapat maklumat yang empat kakitangan terbabit terkandas semasa menjalankan tugas di hutan berkenaan.
“Pengadu dapat menghubungi mangsa pada pukul 9.55 malam dan salah seorang daripadanya memaklumkan mereka akan bermalam di tempat kejadian memandangkan cuaca gelap dan keletihan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Adli, operasi menyelamat digerakkan pukul 8 pagi ini melibatkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Batalion 9 Gong Badak. – UTUSAN ONLINE










