Empat lagi jenis perkhidmatan akan dikenakan SST - Utusan Malaysia

Empat lagi jenis perkhidmatan akan dikenakan SST

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Empat lagi jenis perkhidmatan melibatkan lebih 10,000 buah syarikat akan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi membantu meningkatkan hasil pendapatan dalam negara bermula Mac depan.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri T. Subromaniam berkata, skop perkhidmatan bercukai itu diperluaskan merangkumi perkhidmatan pengendalian taman hiburan, penyediaan pembrokeran dan penaja jaminan, pembersihan serta penyediaan latihan atau tunjuk ajar.

Jelasnya, semua syarikat yang terlibat dalam jenis perkhidmatan tersebut dengan nilai perkhidmatan bercukai melebihi RM500,000 setahun perlu membuat pendaftaran dengan JKDM sebelum 28 Februari depan.

“Minimum, kita jangkakan sebanyak 10,000 buah syarikat akan mendaftar dengan jumlah tertinggi melibatkan perkhidmatan pembersihan dan penyediaan latihan atau tunjuk ajar.

“Kita memberikan tempoh selama dua bulan kepada syarikat-syarikat terlibat untuk berbuat demikian sebelum melaksanakan cukai SST ke atas perkhidmatan tersebut yang bermula 1 Mac depan,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Ramada di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Subromaniam berkata, keputusan pemilihan jenis perkhidmatan itu dibuat setelah mengambil kira kepentingan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) agar tidak terbeban dengan cukai yang dikenakan.

“Saya yakin empat jenis perkhidmatan yang dikenakan cukai SST ini lazimnya dinikmati oleh golongan berkemampuan seperti perkhidmatan penyediaan pembrokeran dan penaja jaminan.

“Walaubagaimana pun, rakyat perlu melihat perlaksanaan SST dari perspektif lebih luas iaitu demi membantu meningkatkan perolehan hasil kerajaan yang pada akhirnya akan dipulangkan semula kepada rakyat khususnya golongan B40,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN