PETALING JAYA – Seramai empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden membelasah seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, di pekarangan Kuil Maha Mariamman, USJ di Subang Jaya pada 27 November lalu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini semalam untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Perintah tahanan reman selama empat hari itu dikeluarkan Majistret Mohd. Nor Hafidzuddin Yusoff ke atas kesemua lelaki tersebut sehingga Isnin depan.
Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun, jika disabit kesalahan.
Akhbar sebelum ini melaporkan, pihak polis hanya akan mengambil keterangan daripada Muhammad Adib terbabit selepas keadaan kesihatan kembali pulih.
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata setakat semalam, pihaknya masih menunggu perkembangan lanjut mengenai anggota bomba itu daripada Institut Jantung Negara (IJN).
Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang merupakan anggota dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya patah tulang rusuk selepas dipercayai dibelasah kumpulan perusuh di pekarangan Kuil Maha Mariamman, USJ, Subang Jaya.
Kejadian dikatakan berlaku ketika sepasukan anggota bomba dengan dua jentera telah dikejarkan ke lokasi tersebut bagi memadamkan kebakaran sebuah kereta.Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, dua jentera tersebut telah diserang sekumpulan lelaki menyebabkan Muhammad Adib ditarik keluar sebelum dibelasah.
Sehingga semalam, lebih 100 individu telah ditahan berhubung rusuhan di kuil berkenaan yang dipercayai melibatkan dua kumpulan berhubung isu pemindahan tapak Kuil Sri Maha Mariamman pada awal pagi 26 November lalu.
Sebelum ini juga, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang akhbar di Putrajaya mendedahkan bahawa peguam syarikat pemaju yang terbabit dalam isu kuil berkenaan telah mengupah sekumpulan lelaki untuk mencetuskan kekecohan di kawasan rumah ibadat itu.
Hasil siasatan polis mendapati ketua kumpulan itu telah menerima sejumlah RM150,000 daripada peguam terlibat untuk diagihkan kepada perusuh.










