SUNGAI PETANI 10 Dis. – Seorang ibu beranak dua, hilang tempat pergantungan hidup setelah suaminya menghilangkan diri kira-kira enam bulan lalu di sebuah rumah sewa di Flat Paya Nahu, Taman Ria Jaya, Sungai Petani di sini.
M. Susie, 30, berkata, sejak daripada itu, dia dan anak-anaknya hidup dalam kesusahan dan ada kalanya terpaksa meminta bantuan makanan di rumah jiran-jiran akibat kelaparan.
“Seorang pemimpin di daerah Kuala Muda, V. Kathiravan dari Soorian Enterpries Batu 2, Jalan Kuala Ketil di sini, kemudian telah membantu membawa kisah saya ke pengetahuan pihak pengurusan Econsave Taman Petani Jaya, Sungai Petani bagi mendapatkan bantuan makanan,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor.
Menurut Susie, dia gembira kerana kerana mendapat bantuan makanan sehingga menceriakan anak pasangan kembarnya itu, Dharshiny, dan Keshvin Raj, yang masing-masing berusia lima tahun.
Tambahnya lagi, bagi menampung perbelanjaan, dia kini terpaksa bekerja di sebuah kedai minuman di Pekan Lama Sungai Petani dengan bayaran RM4 sejam.
Pengurus Econsave Taman Petani Jaya, Saparin Abu Seman berkata, pihaknya membenarkan Susie memilih barang keperluan makanan yang disukai, termasuk dua kampit beras semasa berada di Econsave.
“Sesiapa sahaja tentu bersimpati bila melihat kes seumpama ini. Dengan adanya bantuan makanan sebegini, ia dapat menceriakan kehidupan Susie bersama dua orang anaknya itu,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE










