Econsave, 99 Kesan beri sumbangan persekolahan - Utusan Malaysia

Econsave, 99 Kesan beri sumbangan persekolahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seramai 46 orang anak yatim, mualaf dan juga orang kelainan upaya (OKU) sekitar daerah ini menerima bantuan berupa beg, kasut dan peralatan persekolahan sumbangan Pasar Raya Econsave Cash & Carry Sdn. Bhd (Econsave) di Kampung Jawa di sini hari ini.

Sumbangan tersebut adalah hasil kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan) dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bandar Botanik.

Pengurus Besar Econsave, Wong Yun Fatt berkata, sumbangan tersebut merupakan tanggungjawab sosial pasar raya berkenaan kepada masyarakat khususnya sekitar daerah Klang.

“Pada hari ini kita dengan kerjasama PDK Bandar Botanik dan juga 99 Kesan telah memilih 46 orang pelajar sekolah berusia antara tujuh hingga 14 tahun yang terdiri daripada anak yatim, mualaf, fakir miskin dan OKU.

“Sumbangan kita berupa alat tulis, beg sekolah dan beberapa peralatan lain. Kita berharap sumbangan ini dapat mengurangkan beban keluarga khususnya mereka yang berpendapatan rendah (B40),” katanya ketika ditemui di Pasar Raya Econsave Kampung Jawa di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat 99 Kesan, Datuk Nor Shabudin Monil dan Pengerusi 99 Kesan, Muhd. Ali Zakariah.

Sementara itu, Nor Shabudin berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan sumbangan daripada pihak korporat lain dalam membantu golongan memerlukan terutamanya mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.

“Sebagai NGO, kami akan berusaha untuk membantu golongan B40 yang mana mereka ini amat memerlukan bantuan seperti hari ini kerana sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

“Kami juga berharap kerjasama dengan Econsave ini dapat teruskan pada masa akan datang,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN