ISKANDAR PUTERI 6 Dis. – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup di Pontian.
Usul yang dibawa oleh Ir. Khairuddin A. Rahim (PH-Senggarang) diluluskan oleh Speaker DUN, Suhaizan Kaiat selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain Khairuddin, usul itu turut dibahaskan oleh dua ADUN lain iaitu Mohd. Solihan Badri (PH-Tenang) dan Md. Ysahrudin Kusni (PH-Bukit Naning).
Ketiga-tiga mereka membahaskan betapa pentingnya untuk memelihara dan memulihara pulau itu yang diiktiraf sebagai pulau hutan paya bakau tidak berpenghuni yang kedua terbesar di dunia.
Selain itu, mereka berkata, pulau itu juga menjadi penampan hakisan ombak dan ribut, mampu menjana ekonomi menerusi sektor pelancongan dan kaya dengan flora dan fauna.
Justeru, mereka mencadangkan untuk MMK mengambil maklum perkara tersebut dan mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup. – UTUSAN ONLINE










