TARIKH 3 Disember telah diisytiharkan sebagai Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Sedunia dan tema untuk tahun ini adalah ‘Memperkasa dan Memastikan Inklusif Serta Kesaksamaan Bagi OKU’.
Terpanggil dengan tema itu, pertubuhan yang berteraskan OKU biasanya akan membuat penilaian semula berkenaan sejauh mana kemajuan hak-hak OKU berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Penilaian ini dirasakan perlu memandangkan peratusan OKU dianggarkan mencecah 10% ke 15% daripada penduduk Malaysia.
Adakah pemberian hak-hak OKU sudah dipenuhi dan sejauh manakah kerajaan atau pihak terlibat telah melaksanakan langkah bagi melestarikan keperluan OKU di Malaysia seperti yang terkandung dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 [Akta 685]?
Memang tidak dinafikan, telah banyak kemajuan yang dicapai dalam usaha memperbaiki tahap atau kualiti kehidupan OKU berdasarkan hak mereka seperti yang terkandung dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) dan Akta 658.
Bidang sukan misalnya telah menyerlahkan potensi OKU hingga mampu mengharumkan nama negara di peringkat sukan tertinggi.
Namun, dalam kebanyakkan hal, perkembangan ini amat perlahan dan tidak memenuhi sasaran ditetapkan. Hak pekerjaan misalnya, 1% daripada jawatan kakitangan awam yang sepatutnya diperuntukkan kepada OKU masih tidak memanfaatkan golongan OKU.
Walhal perkara ini sudah lama dicanangkan kerajaan. Ternyata hingga kini cuma 0.22% sahaja daripada kuota ta tersebut berjaya dipenuhi.
Justeru, apa sebenarnya yang tidak kena dalam sistem negara kita yang seakan-akan sering terlupa dan meminggirkan golongan OKU dalam arus pembangunan negara?
Atau golongan OKU dilihat hanya sebagai golongan kelas kedua dalam masyarakat dan layak untuk simpati dan belas kasihan sahaja untuk mereka?
Atas kesedaran dan keprihatinan ini, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) telah merangka satu modul yang diberi nama OKU Mukorabun. Modul ini menawarkan satu kebijakan yang ditunjukkan konsepnya pada zaman Rasullah SAW dan sahabat baginda.
Modul ini memberikan panduan dan saranan cara OKU membina kekuatan jati diri serta bagaimana masyarakat dan mereka yang berkuasa menangani kepelbagaian permasalahan OKU menurut garis panduan yang dicadang dalam Islam.
Modul ini juga mencadangkan program serta memandu pihak relevan dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan OKU melalui potensi, keupayaan dan kebolehan dimiliki.
Syukur dan terima kasih diucapkan kepada kerajaan Malaysia atas peruntukan belanjawan baru-baru ini melalui inisiatif ‘Khaira Ummah’ untuk melahirkan lebih ramai profesional dalam kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan braille.
Namun, PERTIS sebenarnya terlebih dahulu melangkah ke hadapan dengan merangka dan mengusahakan satu pelan tindakan bagi memastikan pembelajaran al-Quran itu sampai kepada setiap masyarakat OKU penglihatan Islam. Pelan Pembangunan al-Quran Braille ini berusaha memenuhi keperluan agar setiap OKU penglihatan Islam didedahkan dengan pembelajaran al-Quran mengikut peringkat dan kemampuan masing-masing.
Justeru, kami menaruh harapan agar semua agensi kerajaan berkaitan dapat bekerjasama dengan persatuan seperti PERTIS bagi memastikan matlamat dan objektif program Pembangunan al-Quran serta pelaksanaan modul OKU Mukorabun dapat dicapai sekali gus mengurangkan halangan yang terpaksa ditanggung seperti kekurangan dana dan sebagainya.
Sesungguhnya konsep OKU itu sendiri adalah satu konsep yang berkembang, atau dengan kata lain, sebelum kita dipanggil mengadap Allah SWT, maka kemungkinan untuk seseorang itu menjadi OKU akan tetap ada.
Jadi, tiada apa yang diharapkan oleh seorang OKU melainkan kehidupan mereka lebih dihargai, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi serta hidup sebagai seorang yang mempunyai maruah diri di tengah-tengah masyarakat.
PENULIS ialah Naib Yang Dipertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).










