KOTA TINGGI – Gara-gara melakukan aktiviti pemindahan bahan bakar tanpa kebenaran September lalu, dua syarikat perkapalan asing didenda RM130,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Kapal FV Fu Yuan Yu 677 milik syarikat perikanan di China dan kapal tangki MT Sentek 33 milik Sentek Marine and Trading Pte Ltd di Singapura masing-masing diwakili seorang ejen perkapalan tempatan.
Kedua-dua ejen tersebut membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zahilah Mohammad Yusoff.
Zahilah memerintahkan syarikat kapal FV Fu Yuan Yu 677 membayar denda sebanyak RM70,000 manakala Sentek Marine and Trading Pte Ltd pula sebanyak RM60,000.
Ejen tersebut membayar denda berkenaan.
Kedua-dua kapal berkenaan didakwa melakukan pemindahan minyak kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Mereka dituduh melakukan aktiviti itu ketika berada di kedudukan 3.6 batu nautika tenggara Tanjung Penyusop di sini pada 9 September lalu.
Kedua-dua syarikat terbabit didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazana Abd. Lajis manakala kedua-dua ejen diwakili peguam bela. – K! ONLINE










