TAIPING – Dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri di Jalan Taiping-Selama berhampiran Taman Kamunting Mutiara di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.56 pagi itu, mangsa, Mohd. Shafarulnizam Mat, 35, dan Mohd. Shaafiee Saidin, 59, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, siasatan awal mendapati Mohd. Shafarulnizam sedang dalam perjalanan dari Batu Kurau ke Kamunting manakala Mohd. Shaafiee pula di laluan bertentangan.
“Tiba di tempat kejadian, Mohd. Shaafiee yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dipercayai masuk ke laluan bertentangan secara tiba-tiba menyebabkan Mohd. Shafarulnizam yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda di laluan bertetangan itu tidak sempat mengelak lalu melanggarnya.
“Pertembungan kedua-dua motosikal secara berhadapan itu menyebabkan dua penunggang tersebut mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambahnya, seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha LC135 berusia 25 tahun yang berada di belakang Mohd. Shafarulnizam sempat mengelak daripada merempuh dua motosikal tersebut namun dia mengalami kecederaan ringan selepas terbabas ke tepi jalan.
“Dua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat manakala penunggang yang cedera turut dirawat di hospital sama.
“Hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mereka meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala akibat kemalangan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










