ALOR GAJAH – Dua penumpang parah manakala 12 lagi termasuk pemandu bas ekspres cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 195 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, seramai 11 mangsa dimasukkan ke Hospital Jasin manakala tiga yang lain dikejarkan ke Hospital Melaka.
Kesemua mangsa dalam lingkungan 27 sehingga 61 tahun itu masing-masing sembilan adalah warga Singapura, dua Thailand dan tiga rakyat tempatan.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Asisten Superintendan K. Mahadevan berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah lori dedak tanpa muatan gagal mengelak lori di hadapannya yang sedang bergerak perlahan memasuki lorong ketiga.
“Lori dedak tersebut telah melanggar bahagian belakang lori dihadapannya dan lima minit kemudian datang pula sebuah bas ekspres yang gagal mengelak kemalangan lalu merempuh lori tersebut.
“Akibat kemalangan itu, seramai 14 orang penumpang termasuk pemandu bas berkenaan mengalami kecederaan dengan seorang wanita tempatan patah kaki dan seorang lagi di masukkan ke zon merah Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, difahamkan bas yang dipandu seorang lelaki berusia 50-an itu dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand ke Singapura.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










