DUNGUN – Dua lelaki maut manakala seorang budak lelaki berusia lapan tahun cedera selepas dua kereta yang dinaiki masing-masing bertembung di Kilometer 12.5, Jalan Paka- Al Muktafi Billah Shah dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.15 pagi, Muhamad Hisyam Alimun, 26, dan Fazroazahar Rahim,34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, Airill Sarojini yang merupakan anak saudara Muhamad Hisyam pula terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Beliau berkata, sewaktu kejadian, Fazroazahar yang merupakan seorang juruteknik sebuah kilang sarung tangan di Kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Ketengah Jaya dekat sini dari tempat kerja.
“Muhamad Hisyam dan anak saudara pula yang berada laluan bertentangan dalam perjalanan ke Paka dari Bandar Ketengah Jaya dekat sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Persona dinaiki mereka dikatakan memasuki laluan bertentangan kerana cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya.
“Begitu pun ia gagal memotong sebelum bertembung dengan kereta Honda Civic yang dipandu Fazroazahar,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE










