KUALA LUMPUR 21 Dis. – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tidak terkejut apabila dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang diumumkan bagi tahun ini merupakan jumlah paling rendah sejak penubuhannya pada Januari 1990.
Beliau berkata, jumlah dividen terendah iaitu sebanyak RM6.50 dan bonus RM0.50 ini bukanlah sesuatu yang menghairankan atau berada di luar jangkaan memandangkan banyak indikator dapat dilihat sepanjang tahun ini lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum KE-14 (PRU-14) lalu.
“Contohnya, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada Selasa lalu jatuh ke paras terendah sejak 2016 kepada 1,635 mata. Malah, trend penurunan ini sudah berlarutan sejak Mei lalu yang pada ketika itu menunjukkan FBM KLCI berada pada paras 1,850 mata.
“Rentetan daripada itu juga, banyak saham syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama negara mengalami trend penurunan yang sama. Memandangkan ASB melabur dalam pelbagai pasaran saham termasuk di dalam syarikat GLC, secara tidak langsung memberi kesan kepada nilai pelaburan dan pulangan negatif kepada ASB,” katanya dalam laman Facebook rasmi miliknya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, situasi yang berlaku itu berkait rapat dengan keyakinan pelabur sama ada dari dalam atau luar negara.
“Keadaan itu juga ditambah dengan banyak tindakan pusingan U dan keputusan ‘flip-flop’ oleh kerajaan hari ini yang hanya memburukkan lagi keadaan.
“Rakyat negara ini juga masih belum jelas apakah pelan jangka masa panjang atau pakej rangsangan ekonomi yang akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi merancakkan keadaan ekonomi negara. Tetapi yang kita dengar kini hanyalah projek kurun ke-20 seperti projek kereta nasional ketiga,” sindirnya. – UTUSAN ONLINE










