Disimbah air panas hanya kerana RM10  - Utusan Malaysia

Disimbah air panas hanya kerana RM10 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 31Dis. – Hanya kerana dikatakan mencuri wang ibunya berjumlah RM10, seorang kanak-kanak cedera akibat disimbah dengan air panas oleh bapanya pada malam Khamis lalu.

Kejadian itu dipercayai berlaku di rumah mereka di Flat Kampung Melayu,  Air Itam di sini.

Kanak-kanak perempuan berkenaan yang berusia lapan tahun mengalami luka melecur sebanyak tiga peratus pada bawah lengan kanan,dirusuk kanan, di sisi dada kanan dan mangsa kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pihak polis menerima laporan polis mengenai kejadian berkenaan pada Jumaat lalu.

“Mangsa merupakan anak kedua  daripada empat adik beradik dan mangsa bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Itam di sini.

“Mangsa disimbah dengan air panas oleh bapanya dipercayai berpunca kerana bapa mangsa marah disebabkan mangsa dikatakan telah mencuri duit ibunya sebanayak RM10,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani hasil siasatan awal mendapati ibu bapa mangsa dikatakan selalu mengabaikan mangsa dan adik beradiknya yang lain.

“Mangsa dan adik beradiknya selalu dilihat berkeliaran di kawasan kediaman tanpa pengawasan orang dewasa.

“Suspek disyaki telah melarikan diri bersama isterinya, pemeriksaan polis di rumah suspek dan di tempat kerja mendapati suspek dan isterinya telah tiada,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN