LONDON – Apabila seorang arkitek, Basia Lejonvarn menawarkan diri untuk mengubah landskap taman di kediaman mewah jirannya berharga £5 juta (RM26 juta) tanpa mengenakan sebarang bayaran, dia beranggapan telah berbudi kepada mereka, lapor sebuah akhbar Britain semalam.

Bagaimanapun, nasihat percuma itu mengakibatkan Basia disaman sebanyak £300,000 (RM1.5 juta) dalam kes yang berlarutan sehingga lima tahun.
“Kami menanggung penyeksaan naik turun mahkamah selama lima tahun,” kata wanita itu kepada akhbar Mail on Sunday.
Semuanya bermula apabila jiran Basia, Peter, 61, dan Lynn Burgess, 60, mendedahkan rancangan mengubah suai landskap taman mereka di Highgate di sini. Seorang pereka landskap memberikan sebut harga sebanyak £150,000 (RM799,562) bagi tujuan itu.
Ketika mereka meminta pendapatnya, Basia memberitahu pasangan suami isteri tersebut bahawa kos pengubahsuaian itu adalah sekitar £130,000 (RM692,954) dan menawarkan diri untuk menyelia kerja pengubahsuaian oleh kontraktor tempatan dengan harapan mendapat sedikit imbuhan di kemudian hari.
Bagaimanapun, dia disaman pada September 2013 kerana kos mencantikkan taman itu melonjak melebihi £300,000 berikutan kerja pengubahsuaian tidak berjalan seperti yang dirancangkan.

Dalam penghakiman berhubung saman tersebut, Mahkamah Rayuan di sini memutuskan bahawa Basia tidak bersalah dalam perkara tersebut.
“Saya menyeru anda berfikir dua kali sebelum menawarkan nasihat profesional kepada rakan-rakan,” kata wanita itu selepas kes tersebut selesai. – Agensi










