Dipenjara 12 bulan miliki 19 keping duit palsu - Utusan Malaysia

Dipenjara 12 bulan miliki 19 keping duit palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Dis. – Gara-gara memiliki 19 keping wang palsu RM100 di rumah sewanya, seorang pekerja am dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini.

Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu selepas Didiari Saini, 33, mengaku bersalah memiliki 19 keping wang denominasi RM100 dengan mengetahuinya sebagai palsu dan dengan hendak menggunakannya sebagai tulen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit Pangsapuri Sri Nilam, Ampang, dekat sini kira-kira pukul 11.10 malam, 28 November lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Dalam pada itu, Didiari turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku gagal mengemukakan kad pengenalan semasa pemeriksaan di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua pula penjara tiga bulan. Hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 29 November lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN