KUALA LUMPUR – Selepas cemerlang meraih tiga pingat emas dan melakar rekod baharu pada temasya Sukan Para Asia Jakarta 2018, atlet para negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi muncul penerima individu Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) tertinggi dengan jumlah RM260,000.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu menampilkan prestasi luar biasa sepanjang Sukan Para Asia 2018 untuk merangkul emas dalam acara 100 meter (m) , 400m dan lompat jauh T36.
Ketika ditemui pemberita, Mohamad Ridzuan yang lebih mesra dengan panggilan ‘Dik Wan’ menzahirkan rasa terima kasih dan menyifatkan insentif itu sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya di masa hadapan.
“Syukur Alhamdulillah di atas pemberian ini. Prestasi di Sukan Para Asia itu tidak datang tanpa sokongan semua pihak terutama ahli keluarga. Ia juga menaikkan semangat saya untuk berusaha lebih gigih demi mengharumkan nama Malaysia,” katanya pada majlis penyampaian SHAKAM yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, hari ini.
Sementara atlet gimnastik berirama, Amy Kwan Dict Weng yang memungut satu emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 pula menerima RM133,333 manakala jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang menerima RM113,333.33 selepas meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018. – Bernama









