Kata dialog sebenarnya sudah memiliki unsur kepelbagaian yang sinergi akhirnya membawa kepada satu kebersamaan. Kata yang berasal daripada bahasa Greek ini iaitu dia dan logos membawa makna yang cukup istimewa iaitu ‘menerusi perbualan atau percakapan.’ Ertinya menerusi kata dialog ini sudah memiliki unsur komunikasi yang bersifat komunikatif.
Proses komunikasi atau perbincangan yang melibatkan lebih daripada dua komunikator. Dalam proses dialog inilah perbezaan dalam pandangan yang melibatkan kepelbagaian etnik atau suku kaum dapat dimaksimumkan sekecil boleh.
Dalam pidato umum yang disampaikan oleh Datuk Dr. Siddiq Fadzil di Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini, beliau meletakkan konsep dialog sebagai resipi penting dalam menangani konflik etnik atau suku kaum di Malaysia. Kita sudah ditakdir oleh Yang Maha Kuasa bahawa Malaysia ini dihuni oleh pelbagai etnik dan suku kaum. Ekoran itu wujudlah kepelbagaian bahasa, budaya dan agama.
Jika ciri kepelbagaian ini ditangani melalui konsep dialog, maka masing-masing etnik atau suku kaum ini akan faham tanggungjawab dan peranan mereka. Klausa yang diungkapkan oleh Dr. Siddiq menggugah telinga penulis, iaitu `sesiapa yang membina kasih, ia akan menyemai sayang’ dan `dialog yang baik musuh jadi kawan.’ Ungkapan klausa ini mengandungi makna amat mendalam.
Ertinya, nilai-nilai kasih sesama manusia sejagat tanpa melihat warna kulit dan daripada mana etnik atau suku kaum itu datang perlu dibina agar rasa kasih dan sayang antara kita dapat disemai dan sekali gus musuh pun akhirnya akan menjadi rakan yang baik.
Dalam sejarah Islam, Perjanjian Hudaibiyah adalah satu episod dialog. Perjanjian yang dilakukan pada bulan Zulkaedah tahun ke-6 H (628 M) antara pihak Musyrikin Mekah dan Rasulullah SAW di Hudaibiyah adalah manifestasi bahawa untuk Islam berkembang, maka proses dialog perlu dilakukan. Dalam konteks ini, walaupun mereka sesama Arab, tetapi agama mereka berbeza.
Semangat dialog
Masing-masing mempertahankan hak agama mereka. Kesan daripada episod dialog ini telah memberi kemenangan yang besar pada Islam. Kaum Quraisy mengiktiraf Rasulullah, umat Islam dan negara Islam Madinah. Gencatan senjata selama 10 tahun yang menjadi satu terma dalam perjanjian ini telah memberi ruang kepada Rasulullah untuk menyebarkan agama suci ini seluas-luasnya.
Akhirnya, Islam berkembang di seluruh dunia. Justeru, melalui dialog kepelbagaian dapat disatukan, kemenangan menjadi milik bersama dan rasa hormat menghormati mengikat antara kita yang bersifat pelbagai ini.
Berkaitan pendidikan di Malaysia, kita seharusnya berdialog untuk mewujudkan satu sistem pendidikan dalam kemajmukan. Kaum cendekiawan dan pakar-pakar pendidikan perlu duduk semeja berdiskusi dan berdialog untuk mencari titik temu bagaimana semangat pendidikan dalam kemajmukan ini dapat direalisasikan.
Rasanya, semangat dialog ini jarang dilakukan dalam bentuk nyata. Kita asyik mencari dan memperbesarkan perbezaan antara kita.
Realitinya, perbezaan itu pasti wujud dan kita harus mencari jalan penyelesaiannya. Alangkah indahnya realiti pendidikan dalam kemajmukan ini dapat diwujudkan dan menjadi satu kenyataan di bumi bertuah ini. Kepelbagaian itu perlu diraikan kerana sifat manusia secara tabii menyukai kepelbagaian. Sehelai baju yang hanya satu warna kita akan mengatakan tidak elok, tetapi jika baju itu beraneka warna pastinya kita akan tertarik kerana sifat manusia itu menyukai kecantikan dan keindahan.
Mudah-mudahan pemimpin baharu untuk Malaysia kontemporari ini menjadikan dialog sebagai satu wadah untuk mewujudkan keharmonian kepelbagaian etnik dan suku kaum di Malaysia. Negara ini tidak mampu lagi mendendangkan bibit-bibit pertelagahan etnik dan suku kaum.
Kita telah tua dan usia kita kini sudah 61 tahun. Isu etnik dan suku kaum seharusnya sudah berlalu. Saat ini yang harus dendangkan ialah frasa ’Bangsa Malaysia’ dan ’majulah negaraku’.
– PENULIS ialah Pensyarah Pusat Kelestarian Warisan dan Kebitaraan Melayu (Bayu) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










