KANGAR 17 Dis. – PKR negeri ini berharap Nurul Izzah Anwar menarik balik keputusan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang.

Pengerusi MPN negeri, Amran Kamarudin berkata, Nurul Izzah merupakan pemimpin masa depan parti, malah semasa pemilihan baru-baru ini anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memperolehi undi tertinggi bagi jawatan Naib Presiden.
Katanya, Nurul Izzah layak memegang jawatan tersebut bukan disebabkan beliau anak kepada Anwar sebaliknya Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sememangnya layak dan mendapat sokongan penuh daripada akar umbi.
“Kita rayu Nurul Izzah pertimbangkan semula keputusan meletakkan jawatan itu. Boleh dikatakan majoriti ahli di negeri ini dan seluruh negara memilihnya dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
“Malah, kita juga minta Nurul Izzah tidak terpengaruh dengan suara-suara sumbang dan desakan pihak tertentu kononnya wujudnya amalan kronisme serta nepotimse dalam parti tersebut.
“Nurul Izzah adalah pejuang asal PKR sejak awal penubuhan parti itu lagi. Dia (Nurul Izzah) layak memimpin bukan kerana dia anak Anwar sebaliknya memang terbukti kemampuannya,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Hari ini, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang.
Nurul Izzah dilaporkan berkata, keputusan tersebut sepatutnya dibuat lebih awal namun mengakui ia sesuatu yang sukar buat dirinya.
Sebelum itu, bekas pimpinan pusat parti itu, Latheefa Koya membuat kenyatan membidas amalan kronisme serta nepotimse dalam parti tersebut.
Menerusi kenyatannya seperti dilaporkan portal Malaysiakini hari ini, Latheefa membidas sikap kronisme dan nepotisme dalam melantik jawatan Pengerusi PKR negeri termasuk pelantikan Nurul Izzah sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.- UTUSAN ONLINE










