Dewan Pemuda Pas Pusat turut desak Waytha Moorthy lucut jawatan - Utusan Malaysia

Dewan Pemuda Pas Pusat turut desak Waytha Moorthy lucut jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Dewan Pemuda Pas Pusat turut senada dengan Pergerakan Pemuda UMNO yang mendesak supaya P. Waytha Moorthy dilucutkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan senator oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ini berikutan sikap tidak bertanggungjawab Waytha Moorthy dalam menangani isu berkaitan perpaduan kaum di negara ini.

Malah, katanya, kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim juga amat memerlukan pembelaan dan penjenayah yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

“Kita tidak mahu Allahyarham Muhammad Adib meninggal dunia sia-sia dan kita mahu pesalah yang membunuhnya diadili ke mahkamah.

“Kita telah mengikuti isu ini dari awal dan mendapati sikap tidak bertanggungjawab Waytha Moorthy dan seorang exco kerajaan negeri Selangor dalam menangani isu rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Semalam, Ang­katan Bersatu Anak Muda (Armada) telah menemui Perdana Menteri bagi menyerahkan me­morandum menuntut peletakan jawatan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu di pejabatnya sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung.

Memorandum itu juga difahamkan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Waytha Moorthy yang didakwa telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Ketika ditanya adakah usaha-usaha yang akan dilakukan oleh Dewan Pemuda Pas Pusat untuk membuat desakan berkenaan, kata Muhammad Khalil, pihaknya setakat ini belum mengadakan perbincangan mengenainya.

“Bagaimanapun, kita bersetuju dan menyokong dengan usaha beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani isu ini terutamanya Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang dikatakan akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri berhubung isu-isu semasa termasuk mendesak peletakan jawatan Waytha Moorthy, di Putrajaya, esok,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN