KUALA LUMPUR – Pelakon drama rantaian siri kepolisan, Gerak Khas, Ruzzlan Shah Abdullah yang membawa watak sebagai Detektif Wong meninggal dunia semalam.
Pengesahan pemergian pelakon yang juga mualaf itu disahkan oleh pengarah, Syafiq Yusof melalui laman instagramnya @fiq000s berserta kapsyen ucapan takziah terhadap pemergian pelakon tersebut.
Dalam kapsyen itu Syafiq berkata, Ruzzlan Shah telah dipilih untuk meninggal dunia sebagai muslim pada hari penuh bermakna umat Islam iaitu Jumaat.
“Innalillah sahabatku Ruzzlan Abdullah telah meninggal dunia pada hari barakah. Arwah seorang yang baik hati dan bertutur dengan sopan.
“Arwah memilih agama Islam dengan pilihannya sendiri walaupun pelbagai ujian dilalui. Moga ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya.
Ruangan komen laman Instagram Syafiq yang juga anak kepada penerbit Datuk Yusoff Haslam turut dibanjiri ucapan takziah.
Antara yang turut bersedih pelakon senior Esma Daniel dan isteri kepada pengacara popular, Datuk AC Mizal, Emylia Rosnaida.
Bagaimanapun, sehingga kini tidak dinyatakan punca kematian arwah. – K! ONLINE










