Destinasi percutian terbaik - Utusan Malaysia

Destinasi percutian terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN anda sedang menonton iklan mencari hotel. Anda mahu bercuti. Mencari destinasi paling sesuai dengan serba-serbi ada seperti tempat kesukaan, bajet memuaskan, aktiviti seronok dan penginapan selesa. Perhatian anda tertumpu rapat. Ya sekarang anda sudah jumpa: Bercuti di rumah ibu bapa anda!

Dan mengapa tidak? Asyik-asyik hendak melancong ke Gold Coast, balik-balik nak juga ke London, sikit-sikit hendak ke Bandung. Apa salahnya untuk sekali ini, bercutilah semahu-mahunya bersama ibu bapa kita. Takkan hendak tunggu musim raya semata-mata?

Tahukah anda apa kelebihan memilih percutian ke rumah ibu bapa anda musim cuti sekarang ini? Berikut Merrepak perturunkan faktor-faktor yang iklan paling mahal dalam televisyen atau YouTube tidak akan mampu tandingi:

1. Jarak jauh terasa dekat

Mungkin rumah ibu bapa anda di Gua Musang, Kelantan; Semporna di Sabah; Kampung Medong di Dalat, Sarawak atau anda tinggal di Arau, Perlis tetapi ibu bapa anda di Kota Tinggi, Johor. Oleh kerana faktor ibu bapa, jarak jauh itu tidak akan menjadi faktor penghalang untuk anda memulakan pengembaraan. Pasanglah lagu legenda Sudirman, `Balik Kampung’ bila berkereta dan mainkan pada telefon pintar bila menaiki pesawat.

2. Kos tidak mahal

Oleh kerana anda sudah meletakkan bajet ke luar negara, percayalah bajet pulang bercuti ke rumah ibu bapa anda menyusut menjadi sekadar 10 peratus sahaja daripada bajet mengikut tukaran wang asing itu. Jimat besar! Sangat kos efektif. Malah, lebihan dana itu boleh pula diperuntukkan untuk menjadi dana sumbangan kepada ibu bapa untuk duit poket mereka.

3. Sambutan VVIP

Jika anda mengimpikan layanan VVIP hotel bertaraf lima bintang, semua itu tidak akan dapat menyaingi sambutan ibu bapa yang bila direnung pada mata mereka, bercahaya dan bergelinangan air mata. Itulah ekspresi kebahagian yang ibu bapa zahirkan kepada anda. Tiada penyambut tetamu hotel atau pengurus besar resort mampu menyambut anda, sehebat ibu bapa anda bila anda tiba di rumah.

4. Bilik nyaman

Bimbang tilam atau bantal keras? Bimbang tidak selesa? Semuanya hapus kerana setibanya di rumah ibu bapa, bilik yang disediakan adalah bilik anda sendiri semasa membesar. Dan semuanya masih sama. Bantal busuk, bantal peluk, selimut yang mungkin kini lusuh tetapi semua inilah menjamin anda tidur senyenyak-nyenyaknya.

5. Makanan sajian cef paling enak

Mahu cari Cef Michelin? Tidak relevan. Kita semua tahu, masakan terbaik di dunia ialah masakan ibu kita masing-masing. Cakaplah hendak makan apa, ibu akan masakkan untuk kita. Tetapi elok juga anda pergi ke pasar tolong belikan bahan mentah untuk dimasak. Ibu bapa bukan hamba abdi anda.

6. Tiada perlu WiFi

Masa pasti diisi dengan berbual panjang dan tanpa tapisan topik seperti peralihan kuasa presiden, perletakan jawatan anak atau menuntut menteri dipecat. Malah, ibu pasti mengulangi kemarahannya terhadap kucing jiran yang berak di laman rumah. Dan baru kita tersedar, patutlah kita pun sehingga dewasa tidak menyukai kucing. Jadi, siapa perlu internet bila suasana perbualan sebegini rancak?

7. Melawat tempat menarik

Sejak kita merantau, ibu bapa pun jarang keluar berjalan-jalan. Maklumlah, kaki sudah tidak kuat, apalagi memandu. Inilah masanya kita bawa mereka bersiar-siar sekeliling bandar. Anda sendiri mungkin perlu mengemas kini pengetahuan tentang bandar yang lama anda tinggalkan.

8. Aktiviti luaran menyeronokkan

Lupakan permainan golf, menunggang kuda atau bermain ski. Di rumah ibu bapa anda menyediakan aktiviti lebih mengasyikkan iaitu memotong rumput keliling rumah, mengecat pagar, membetulkan tombol pintu atau mencuci tandas. Kalau malas, upah orang tolong buat. Bukan upah bapa pula buat.

9. Aktiviti luar rumah

Berpeluang menghadiri kenduri-kendara sama ada sanak saudara ataupun jiran tetangga sekampung yang sekian lama tidak dapat dihadiri kerana berjauhan. Kali ini anda bukan sahaja boleh hadir tetapi juga sukarela menjadi tukang angkat makanan atau pencuci pinggan mangkuk.

10. Nikmat Syurga

Inilah peluang anda untuk berjemaah bersama imam yang pernah mengajar anda mengaji al-Quran semasa kecil. Bersalam, ciumlah tangan dan peluklah imam, bisikkan terima kasih kepadanya kerana menjadikan anda seorang anak soleh yang hari ini kembali bercuti menemani ibu bapa, yang pasti amat menggembirakan hati kedua-dua mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN