IPOH 11 Dis. – Enam mangsa yang maut dalam kebakaran di sebuah premis rumah kedai di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju di sini sempat menjerit meminta tolong sebelum suara mereka semakin perlahan dan kemudian lenyap.
Seorang saksi yang merupakan abang kepada salah seorang mangsa, P. Appu, 48, berkata, dia yang berada di luar premis itu terkejut apabila mendengar bunyi letupan kuat dan api mulai marak membakar premis berkenaan.
“Saya dengar adik saya jerit mak dan minta tolong. Saya cuba membantu memadamkan kebakaran dengan alat pemadam api tetapi gagal.
“Saya sedih kerana antara yang terkorban itu ialah adik saya sendiri. Dia adalah pemilik kedai dan rata-rata mangsa yang terlibat ialah pekerja baharunya,’’ katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, seorang saksi, R. Shamala, 37, berkata, jeritan yang didengarinya kedengaran dalam tempoh 10 minit itu bagaimanapun ‘hilang’ ditenggelami bunyi letupan dan percikan api dipercayai mercun.
Katanya, dia yang menyedari kejadian itu semasa menghantar kakaknya bekerja di lokasi berhampiran segera ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan.
‘‘Orang ramai ada cuba membantu tetapi letupan dan percikan api menakutkan kami,” katanya.









