#DaulatHimpunan812 pengajaran kepada pemimpin mahu ratifikasi ICERD - Utusan Malaysia

#DaulatHimpunan812 pengajaran kepada pemimpin mahu ratifikasi ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Dis.- Perhimpunan #DaulatHimpunan812 menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember ini bakal memberi pengajaran kepada sebahagian pemimpin negara yang masih belum serik dengan amaran diberikan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam siri protes sebelum ini.


Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Muhammad Usuluddin Mohd. Zai berkata, himpunan itu juga bakal menzahirkan kemuncak amarah rakyat kepada sebahagian pemimpin negara yang ingin meratifikasi ICERD yang seolah mahu menjual kedaulatan negara kepada negara asing.


“Gamis bersama 10,000 mahasiswa daripada seluruh negara akan menyertai himpunan aman yang dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah) di Dataran Merdeka pada 8 Disember ini.


“Golongan bumiputera yang berpegang teguh dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara bakal bersatu hati, bangkit dan lawan pemimpin kerajaan yang menyokong agenda ICERD habis-habisan selepas daripada ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Sementara itu, tambah Muhammad Usuluddin, Gamis menentang sekeras-kerasnya usaha sebahagian pemimpin kerajaan yang ingin meratifikasi ICERD yang jelas usaha tersebut merupakan tindakan membelakangkan Perlembagaan dan Rukun Negara.


“ICERD adalah sebuah bentuk penjajahan antarabangsa atau Malayan Union 2.0 yang bakal meletakkan negara dalam keadaan bahaya, hilang identiti, dan menafikan kontrak sosial yang telah lama menjadi pasak kepada keharmonian antara kaum dalam negara Malaysia sejak merdeka,” katanya.- UTUSAN ONLINE.


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN