Dari kerana mata... - Utusan Malaysia

Dari kerana mata…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENARLAH kata orang, cinta itu hadir daripada mata lalu turun ke lubuk hati. Terpana pada pandangan pertama, gadis cantik ini mencuri setiap hati yang memandang. Auranya terserlah, mencuit rasa cinta dan sekali gus mendebarkan dada.

Ada apa dengan sepasang mata Juara Gadis Panca MyBeauty 2018 ini? Sharifah Husna Syed Fiezal merangkul kemas perhatian dengan lirikan mata galaknya, hasil kacukan Arab dan British itu.

Diajukan soalan, apakah tuah pada mata lalu menyumbang markah kepada kemenangannya, Husna hanya tergelak manja. Seraya melirikkan mata indahnya ke kanan dan kiri, dia kemudian hanya menggelengkan kepala dan tersenyum manis.

“Bagi saya, cantik itu bonus. Tipu kalau saya cakap tidak, kan? Cuma bagi saya, paling penting adalah kemampuan dan bakat kita. Itu adalah senjata utama yang diperlukan di medan seni.

“Kalau cantik tapi lakonan kayu dan tidak ada peningkatan dari semasa ke semasa, tak guna juga. Saya tidak mahu gunakan kecantikan sebagai tiket ekspres untuk berjaya,” katanya.

Husna sebulat suara menjadi pilihan juri kerana karisma istimewa yang dimilikinya. Ketinggian, paras rupa dan aura peribadi, ditambah dengan kebijaksanaan. Itu telah cukup untuk menambat hati ketujuh-tujuh juri yang mengadili pertandingan berprestij ini.

Selain itu, komitmen tidak berbelah bahagi, usaha keras dirinya sepanjang setahun program ini berlangsung bermula awal Januari 2018 sehingga Disember 2018 juga menjadikan dia berada dalam senarai antara finalis yang cukup disenangi oleh team penganjur, Pancaindera.

Mendepani pandangan skeptikal dan suka menghukum segelintir masyarakat kononnya dia dipilih sebagai juara bersandarkan kepada kejelitaan wajah semata-mata, Husna bagaimanapun lebih mudah untuk mengambil pendirian tidak ambil endah. Dia menolak melayan kata-kata netizen yang mungkin menjatuhkannya.

“Jika komen atau kritikan itu membina, saya tidak mempunyai masalah dan sentiasa terbuka untuk memperbaiki diri. Tapi jika komennya negatif dan sekadar menghina, maaf saya tiada masa untuk itu.

“Mungkin ada yang kata gara-gara wajah kacukan ini watak yang saya bakal terima agak terhad. Saya perlu buktikan sebaliknya. Kadang-kadang kita kena buktikan dahulu kemampuan, baru ada perisai untuk bertahan,” katanya.

Mengimbau kembali saat namanya diumumkan sebagai pemenang, tumpah air mata kegembiraan menyentuh pipi mulusnya. Ketika itu, dia seperti di awangan-awangan kerana terbit rasa tidak percaya. Adakah ini semua sekadar mimpi?

Jauh di sudut hati, gadis cantik ini menyimpan seribu satu impian. Nekad hatinya untuk mewarnai pentas seni dengan bakat lakonannya. Obor cintanya terus membara.

Bukan mudah untuk sebenarnya ombak yang harus ditempuh gadis berusia 25 tahun ini. Kelana juang seninya dibadai dengan deras lautan yang cukup suka untuk dia lawan.

Dalam kesibukan sebagai seorang pelajar perubatan tahun ketiga di University Royal College of Surgeons Irelend, dia mematahkan setiap serangan cabaran dengan semangat dan impiannya.

“Pagi sebelum pentas akhir bermula, saya sebenarnya baru sahaja menduduki kertas peperiksaan. Sepatutnya masa yang diperlukan adalah dua jam, tapi saya berjaya habiskan dalam tempoh 50 minit sahaja.

“Memang bukan senang untuk bahagikan masa di antara pelajaran dan komitmen untuk Gadis Panca. Tapi itu bukan satu alasan untuk saya lemah dan tidak mahu menyahut cabaran itu.

“Ternyata, kerja keras saya berbalas. Memang gembira tapi dalam pada masa sama, terharu. Saya bangga dengan pencapaian diri sendiri. Saya mahu berjaya dalam dua-dua bidang,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×