Dakwaan pinda laporan audit 1MDB: Najib dipanggil lagi? - Utusan Malaysia

Dakwaan pinda laporan audit 1MDB: Najib dipanggil lagi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Dis. – Beberapa individu akan dipanggil dalam masa terdekat ini bagi membantu siasatan berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut sumber, individu-individu itu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Beliau akan dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan pindaan laporan audit 1MDB.

“Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy telah diambil keterangan berhubung isu tersebut. SPRM tidak menolak kemungkinan dia akan dipanggil semula namun bergantung kepada pegawai penyiasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

Hari ini, bekas Ketua Pesurujaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad serta Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang tiba di Ibu pejabat SPRM Putrajaya bagi dirakam keterangan berhubung dakwaan isu berkenaan.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mendedahkan, Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, Ambrin dan Arul antara individu yang terlibat dalam pindaan itu termasuklah bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh dan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa.

Turut terbabit adalah wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN