Dadah masih musuh nombor satu negara - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Dadah masih musuh nombor satu negara – Raja Muda Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 18 Dis. – Dadah masih musuh nombor satu negara dan hendaklah diperangi di segenap peringkat masyarakat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah semua pihak perlu mempertingkatkan usaha untuk membasmi najis dadah selain menyeru semua pihak terutamanya Agensi Kerajaan Persekutuan mahupun Negeri dan NGO dapat bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk merealisasikan harapan itu.

Sehubungan itu baginda bertitah supaya segenap lapisan masyarakat di Perlis berusaha membebaskan negeri berkenaan daripada gejala penyahgunaan dadah.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri program ‘Penutup Tirai Kayuhan MAIPs Peduli Bagi Tahun 2018’ yang diadakan di Masjid Al Barakah, Jelempok, Arau baru-baru ini.


Turut diadakan ialah majlis penyerahan plak penghargaan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) AADK Negeri Perlis yang diterima oleh Pengarahnya Azizah Ahmad.

AADK Negeri Perlis sebagai rakan strategik MAIPs terlibat dalam kesemua 95 kali kayuhan yang disertai baginda pada tahun ini selain turut serta dalam ‘Program Hijrah Minda MAIPs’ sempena solat jumaat sebanyak 30 kali sepanjang tahun ini.


Hadir sama dan turut menyampaikan tazkirah ialah Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut mengajak sekalian rakyat bertungkus-lumus memastikan negeri Perlis bebas daripada najis dadah.

Azizah dalam ucapan beliau pula menjunjung kasih kepada baginda dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada MAIPs kerana membuka platfom baharu untuk AADK di negeri ini.

Tambah beliau, sepanjang tahun ini sahaja, melalui 95 kali kayuhan yang diadakan, seramai 11,400 orang penerima sumbangan zakat MAIPs yang hadir di program ini di seluruh pelusuk negeri dapat mendengar taklimat secara terus mengenai implikasi bahaya najis dadah dan juga langkah-langkah pantas dan selamat yang harus diambil bagi membuat lapuran mengenai kegiatan tak diingini yang berlaku di kawasan masing-masing daripada wakil AADK yang bertugas di setiap zon.


Difahamkan sepanjang tahun hadapan MAIPs akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis untuk mempromosikan kempen ‘Sifar Ponteng’ dan ‘Sifar Cicir’ sekolah bersempena inisiatif program diraja tersebut yang sudah dilaksanakan sejak 2013 lagi itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×