Cuaca baik namun Jambatan sementara Pulau setelu tetap tenggelam - Utusan Malaysia

Cuaca baik namun Jambatan sementara Pulau setelu tetap tenggelam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 20 Dis. – Jambatan sementara Kampung Pulau Setelu, di sini yang menjadi penghubung utama jalan Gua Musang-Jeli hari ini ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air Sungai Nenggiri walaupun cuaca baik di kawasan ini sejak awal pagi.

Difahamkan, hujan lebat di kawasan hulu Gua Musang menjadi penyebab paras air Sungai Nenggiri naik mendadak dan menenggelamkan jambatan terbabit.


Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, paras air sungai itu dijangka meningkat hari ini dan sebagai langkah keselamatan, jambatan tersebut akan ditutup kepada semua jenis kenderaan sehingga air kembali surut.


Memuatkan artikel berkaitan…

“Menurut maklumat orang awam, jambatan itu mulai dinaiki air sejak pukul 9 pagi ini.


“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menghantar anggotanya ke kawasan itu untuk memantau keadaan jambatan dan keselamatan orang ramai,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.


Mohd. Taufik dalam pada itu menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah di sekitar Sungai Nenggiri supaya sentiasa berhati-hati serta peka dengan cuaca semasa serta bersedia untuk berpindah jika keadaan bertambah buruk.


Sementara itu, seorang penduduk, Muhammad Yusuf Abdullah, 37, berkata, rutin harian dia untuk ke bandar Gua Musang sering tergendala setiap kali air sungai naik dan menenggelamkan jambatan.


“Minggu lalu, jambatan itu sudah tenggelam kerana hujan lebat. Sekarang ia tenggelam lagi dan ditutup kepada semua kenderaan. Saya terpaksa akur dan tangguhkan urusan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×