`Cool’ ke lembab? - Utusan Malaysia

`Cool’ ke lembab?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WAALAIKUMUSSALAM…mula-mula Miss Kitty jawab dulu salam Bro Tompok minggu lepas. Bukan apa, nanti dia cakap pula Miss Kitty ni main rempuh atau langgar saja pagar rumah orang, tak beri salam. Lepas itu terus `belasah’ hendak cakap apa, tak adalah bagi intro atau mukadimah bagai.

Tetapi, kalau ikutkan dalam taktik peperanganlah, Miss Kitty nak tanya, kena ke beri salam dulu? Kalau beri salam, Miss Kitty agaklah, awal-awal lagi dah tercabut sehelai demi sehelai misai Bro Tompok yang mendakwa dirinya kacak dan menjadi kegilaan ramai wanita itu, kena bedil. Tak sempat dah dengar salamnya dijawab.

Inilah masalah orang lelaki ni. Kalau orang perempuan tegur sikit, cerita pasal perangai lelaki, dia kata kita emosional. Kalau dia yang menegur dan marah-marah, dia kata pula itu nasihat.

Sebabnya, orang lelaki ni selalu menganggap diri merekalah yang paling cool atau tenang berbanding orang perempuan di muka bumi ini. Kononnya, tak mudah melenting, susah hendak naik angin dan tak ada emosional macam orang perempuan.

Betulkah tak emosional? Cuba tanya, Ahad lalu berapa gol Manchester United kena dengan Liverpool? Mesti ekor Bro Tompok, kembang kuncup sebab marah. Miss Kitty takut tau, bila tengok Bro Tompok marah. Mencicit Miss Kitty lari macam tak cukup tanah.

Yalah, Miss Kitty akui, orang lelaki ini kebanyakannya memang nampak cool. Kelihatan sangat sabar. Tetapi nampak sajalah. Tak semuanya betul-betul cool. Kalau kita perhatikan, adakalanya, ketenangan mereka tu, bukannya cool tetapi lebih kepada `lembab’ sebenarnya.

Lembab dalam tindakan dan kerja, bukan cool, ya abe-abe sekalian. Cakap-cakap saja, tapi tak buat, itu pun bukan dikira cool. Itu cakap tak serupa bikin namanya.

Ada yang cakap hendak buat itu, buat ini, tetapi tak buat pun. Bila kita follow up balik, tanya, kita pula kena marah, tak sabarlah dan suka desak-desaklah. Tapi hakikatnya, kalau tak desak, tak bergeraklah.

Contoh paling mudahlah kan, Miss Kitty memang suka bagi contoh yang paling senang sebab orang lelaki ini susah nak masuk dalam kepala. Yang senang pun dia susah nak faham atau buat-buat tak faham, apatah lagi contoh-contoh yang complicated.

Contohnya – Isteri suruh suami pergi buang sampah di dapur. Sudah busuk satu rumah. Dia tangguh-tangguh leka main telefon pintar. Kalau isteri bising, dia cakap suka membebel. Ayat yang selalu kita boleh dengar daripada mulut lelaki – “Cakap sekali saja sudahlah, kenapa hendak cakap berkali-kali.”

Tetapi kalau cakap sekali, alamat berulatlah sampah tu sampai minggu depan pun belum tentu dibuang. Bab-bab bercakap memang orang lelaki cukup tenang dan bersahaja. Terserlahlah kesabarannya. Tapi bab-bab bertindak ni memang lambat sikitlah. Sebabnya, apa yang selalu keluar daripada mulut perempuan itu selalu dianggap remeh, tak penting atau arahan.

Orang lelaki ini mana suka menerima arahan. Lebih-lebih lagi arahan daripada orang perempuan. Nanti cakap kena control pula. Ego kena jagalah. Pasal kena queen control ni, Miss Kitty sembang lain kali pulalah.

Minggu lalu, pandai-pandai saja, Bro Tompok tulis orang perempuan kalau dah marah, sampai tudung pun boleh tercabut. Itu sebenarnya lebih kepada apabila orang lelaki marah, balik rumah tak ada apa-apa makanan atas meja makan, tudung saji pun melayang.

Sebenarnya, orang perempuan ni, kalau dia membebel atau bising-bising itu maknanya dia prihatin atau ambil berat. Jadi bersyukurlah orang lelaki, bila dia dileteri oleh perempuan. Kalau orang perempuan sudah diam, tak nak bercakap apa-apa, itu bahaya. Ini baru betul punya marah atau malas nak ambil tahu dah. Masa itu orang lelaki, janganlah tanya soalan bodoh pula – Eh, kenapa diam ni?

Miss Kitty – Pendiam dan pemalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN