KUALA LUMPUR – Menyedari tugas getir menunggu Harimau Malaya apabila berdepan Vietnam pada pertemuan final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil esok, ketua jurulatihnya, Tan Cheng Hoe telah menyediakan ‘kejutan’ untuk pasukan The Golden Dragons itu.
Tanpa memberi sebarang bayangan akan kejutan yang menunggu Vietnam, Cheng Hoe yakin anak buahnya mampu mencipta keputusan positif.
“Beraksi di halaman sendiri serta menerima sokongan padu penyokong pasti akan melonjakkan lagi semangat para pemain kita kerana aura di Stadium Bukit Jalil sangat berbeza,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan di sini hari ini.
Cheng Hoe bagaimanapun mengakui Vietnam mempunyai barisan pertahanan yang sangat kental dan menuntut pemain Malaysia berhati-hati semasa melancarkan serangan.
Pada masa sama beliau mahu anak buahnya menyerap tekanan dengan cepat agar dapat mengawal permainan. – Bernama










