JURULATIH Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berada dalam dilema untuk menurunkan tonggak utamanya selepas Mohamadou Sumareh dibelenggu masalah kecederaan pada aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur Sabtu lalu.
Pada aksi berkesudahan seri tanpa jaringan itu, Sumareh terpaksa dibawa keluar dan digantikan dengan Ahmad Hazwan Bakri selepas pemain kelahiran Gambia tersebut mengalami ketegangan otot hamstring.
Ketiadaan Sumareh di dalam padang menyaksikan momentum Harimau Malaya kelihatan agak longlai kerana perlu mendapatkan semula keserasian antara pemain di samping gagal mendapatkan bekalan selesa apabila seri 0-0 pada aksi berkenaan.
Cheng Hoe mengakui beliau masih menunggu keputusan rasmi daripada doktor perubatan pasukan meskipun Sumareh telah menunjukkan perkembangan positif.
“Semua pemain berada dalam keadaan yang baik kecuali Sumareh dan Syazwan Andik Mohd. Ishak yang masih lagi dibelenggu masalah kecederaan.
“Saya berharap kedua-dua pemain ini akan pulih dalam masa terdekat, namun saya perlu mendapat keputusan daripada doktor terlebih dahulu untuk mengenal pasti tahap kecederaan mereka.
“Buat masa ini, kita lihat Sumareh memberikan petanda positif, namun kita tetap menunggu keputusan rasmi pasukan perubatan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.
Cheng Hoe tidak menafikan kebolehan yang ada pada Muhammad Akhyar Abdul Rashid mampu mengisi posisi sayap kanan pasukan sekiranya skuad negara terlepas khidmat Sumareh.
“Kita perlu lihat dari segi individu pemain. Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah sesiapa sahaja yang diturunkan seharusnya boleh menggantikan posisi yang ditinggalkan Sumareh.
“Kita tahu Akhyar mempunyai potensi besar dan boleh mengancam pasukan lawan, namunan yang paling penting semua pemain lain berada dalam keadaan bersiap sedia.
“Kita tahu pemain yang beraksi sebelum ini menunjukkan persembahan terbaik dan penuh yakin tetapi jika pemain lain diturunkan, maka saya rasa mereka turut akan memberikan impak terbaik buat pasukan,” katanya.










